Followers

Search

 

TPM Lancar Standard Guru Malaysia

Friday, December 4, 2009


TAWAU, 2 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai usaha berterusan untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan dokumen berkenaan, semua guru diperlukan memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme perguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.

"Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen penting standard guru yang mesti dicapai oleh setiap guru di negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata bahawa hanya dengan memiliki ketiga-tiga komponen penting itu, guru-guru dapat mencapai tahap kompetensi yang tinggi dan sekaligus melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Saya percaya bahawa Standard Guru Malaysia akan menjadi sumber rujukan yang penting bukan sahaja untuk menghasilkan guru yang kekal berkualiti tetapi juga menambah baik dasar, perancangan dan pembangunan sistem pendidikan negara," katanya.

Muhyiddin turut merasmikan Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Tawau berharga RM87 juta.

Beliau berkata bahawa dalam usaha kerajaan untuk memastikan standard guru di negara ini mencapai standard yang ditetapkan, aspek latihan dan perkembangan profesionalisme guru perlu diberi perhatian utama.

Timbalan Perdana Menteri meminta semua institusi latihan perguruan di negara ini supaya terus menggembeleng tenaga untuk menyediakan program latihan perguruan berkualiti di samping sentiasa menambah baik baik infrastruktur dan infostruktur sedia ada secara berterusan.

Katanya semua warga pendidik terdiri guru, guru besar, pengetua dan pengurus serta pentadbir institusi latihan perguruan, mesti mengguna pakai garis panduan yang telah ditetapkan dalam dokumen SGM untuk memastikan kualiti pendidikan negara dapat ditingkatkan secara berterusan.

Bercakap kepada pemberita kemudian Muhyiddin berkata Malaysia mahu menjadi antara negara terbaik di dunia dalam bidang pelajaran. "Untuk itu, mestilah ada tanda aras tertentu," katanya.

Mengenai masalah kekurangan infrastruktur yang boleh menjadi kekangan untuk mencapai objektif SGM itu, Muhyiddin berkata kerajaan menyedari perkara berkenaan dan sedang mengatasinya secara berperingkat dan berterusan.

Beliau mengakui bahawa pencapaian seseorang guru boleh dipengaruhi oleh masalah infrastruktur sekolah namun fokus bagi meminimumkan kesan masalah itu termasuk di Sabah dan Sarawak akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Katanya usaha berkenaan bukan sahaja berkaitan dengan SGM tetapi juga bagi merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar dalam segala aspek.

--BERNAMA